Mati itu benar !
Dalam kebosanan yang melanda diri walaupun kerja bertimbun
untuk disiapkan, namun tahap kemalasan itu lebih menguasai. Umpama seorang
novelis yang mengalami gejala writer’s block, aku kebinggungan dalam menyiapkan
tugasan yang diamanahkan. Walhal isi-isi penting telah aku kerangka cantik
tersusun. Dengan tahap kemalasan yang bermaharajalela tanganku gatal menekan button power on pada lappyku. Seperti biasa laman sosial
kegemaranku Facebook terusku terjah dan disusuli laman youtube dengan niat untuk memekak
di pagi buta.
Namun, satu video yang menarik perhatianku “ GPTD : Ahmad
Ammar Dalam Kenangan (1993-2013)”. Tentang apakah video ini dan siapakah
gerangan Ahmad Ammar itu? Pelbagai persoalan muncul di kepalaku. Tetapi tanganku
lebih laju daripada menjawab persoalan yang pastinya tiada jawapan dalam diri
aku. 25 minit masa telah aku luangkan demi mengetahui siapa gerangannya, namun
persoalan yang bermain di benak fikiranku masih tidak terjawab malah makin
bertambah. Apakah sumbangan yang telah beliau
lakukan sepanjang hidupnya sehingga begitu besar sekali penghormatan yang telah
beliau dapat walaupun telah menutup mata?
Tanganku mulai lincah menari-nari di atas keyboard mengklik
satu demi satu entri laman sesawang yang berkaitan dengannya. Aku terpana
seketika. Dalam kesibukan rakan-rakan seperjuanganku berjuangan dengan warna,
seorang anak muda telah pergi meninggalkan dunia sementara demi sebuah
perjuangan yang suci. Aku mulai berfikir samakah pemikiran beliau dengan
rakan-rakanku dalam konteks sebuah perjuangan? Atau rakan-rakanku telah alpa
seketika dalam kemasyhuran dunia yang dipenuhi kotak-kotak persegi, kertas
berwarna warni, dan patung-patung bogel yang pelbagai bentuk.
Aku? Layakkah untuk menilai orang lain dalam diam aku
sendiri teraba-raba mencari secalit
kanvas putih dalam catatan diari hidupku. Badanku mengigil-gigil dan jantungku
berdengup pantas saat berita kematian muda singgah di cuping telingaku. Dalam tahun
ini sekali lagi aku terkesima dengan berita kematian muda selepas aku
dikejutkan dengan kehilangan seorang rakan sekelas dari sekolah rendah sehingga
sekolah menengah atas telah pergi akibat ketumbuhan di otak.
Sudah bersediakah aku untuk menghadapi perkataan itu? Saat persoalan
itu aku ajukan kepada diriku perasaan takut mulai menguasai diriku. Takut bukan
kerana dosa semalam tetapi takut berapa banyak pahala telah aku lakukan dalam
21 tahun Tuhan telah memberkatiku untuk melihat dunia ciptaan-Nya. Setiap bait
patah perkataan dalam catatan hidup Ahmad Ammar Ahmad Azam telah membuat aku
berfikir layakkah ‘rumah itu’ aku jejaki. Walhal aku telah jauh melangkah
meninggalkan segalanya. Masih ada lagikah ruang untuk aku kembali dalam memperbetulkan
perjalanan ini?
Kagumnya aku dengan apa yang telah Ahmad Ammar lakukan
sebagai seorang insan yang bergelar manusia di dunia ciptaan-Nya. Sedihnya aku
dengan kehilangan seorang bakal historikus dalam dunia historigrafi. Terpananya
aku dengan catatan perjuangan seorang ‘Syahid yang tertangguh’.
Ternyata “ Mati itu benar. Kitalah si ‘bodoh’ yang sering
alpa dan melupakannya.” Petikan dari laman saifulIslam v2 telah membuat aku
terkesima. Mengajar aku agar tidak terus alpa dengan dunia sementara ini.


Comments
Post a Comment