Rumah Itu?
Aku rindu rumah itu. Putih bersih
dan setiap susunan perabotnya kemas. Aku rindu keindahan dan kedamaiannya. Tiada
yang terindah melainkan rumah itu. Walaupun tidak semewah rumahku kini yang
berdindingkan konkrit gah berdiri megah di tengah kotak-kotak bersegi. Saat malam
menjelma kerinduan terhadap rumah itu kuat dan aku bermonolog sendirian. Layakkah
aku melangkah masuk ke rumah itu? Kejamkah aku setelah sekian lama rumah itu
tidak ku jejaki?
Kisah silam
keluar satu persatu bermain di kepalaku umpama wayang gambar. Bukan sengaja aku
melangkah keluar dari rumah itu. Tindakan membuta tuli tatkala syaitan
menguasai jasad membuat aku hilang pertimbangan diri. Itulah lumrah sebagai
seorang manusia. Tidak pernah kuat dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Bisikan
demi bisikan yang halus di cuping telingaku membuatkan aku lupa tentang
kedamaian dan keindahan rumah itu.
Aku makin tenggelam dek kemewahan
dan keseronokan di dunia baru ku. Hidup aku dipenuhi kertas yang berwarna
warni, kotak yang bersegi dan patung-patung bogel yang pelbagai bentuk dan aksi
membuat aku lupa jalan kembali ke rumah itu.
Amarah dan dendam lalu menyebabkan
aku nekad untuk tidak memandang ke arah jalan kembali itu. Namun, sebagai
manusia biasa masih ada secalit perasaan menyesal dalam menilai diri untuk
mencari jalan itu. Tetapi egokah aku apabila aku hanya mampu memandang dari
kejauhan rumah itu? Langkah aku mati di persimpangan jalan itu. Aku takut untuk melangkah ke rumah itu kerana
segalanya bermula daripada seorang aku.
Kerinduan terhadap rumah itu
semakin kuat. Adakah aku akan memilih jalan kembali itu atau meneruskan
perjalanan hidup ini dalam kerinduan yang menebal. Walaupun jauh di sudut hati
aku telah memilih jalan kembali. Namun, keberanian itu belum berjaya aku temui.
Aku masih rindu rumah itu.
Comments
Post a Comment