Selain daripada mengikuti kuliah kami juga dibawa melawat ke tempat bersejarah yang terdapat di kota Makasar seperti Fort Rotterdam. Fort Rotterdam merupakan sebuah benteng pertahanan tinggalan semasa zaman pemerintahan Belanda pada abad ke-16. Pada zaman dahulu orang Makassar menyebut benteng ini “panyua” yang bermaksud penyu. Seni bina benteng Fort Rotterdam memang unik kerana menyerupai seekor penyu yang menghadap ke Selat Makassar.
Benteng ini pada awalnya dikenali sebagai benteng Ujungpandang atau Jumpandang yang dibina pada zaman pemerintahan Raja Gowa IX iaitu Tumapa’risi Kallona pada tahun 1545 atau setahun sebelum perombakan benteng Somba Opu dilakukan. Benteng ini dibina menghadap ke Selat Makassar. Pembinaan benteng Ujungpandang ini siap semasa pemerintahan Raja Gowa X iaitu Tunipalangga Ulaweng. Pada awalnya benteng Ujungpandang adalah benteng tanah liat seperti benteng Somba Opu. Jika benteng Somba Opu berfungsi sebagai kota raja, benteng Ujungpandang pula berfungsi sebagai benteng ketenteraan.



Pada tahun 1634, Raja Gowa XIV, I Mangngarangi Daeng Manrabia yang bergelar Sultan Alauddin menyempurnakan benteng Ujungpandang menjadi benteng tembok.Setahun selepas itu,ia telah menambah pembinaan dinding di pintu gerbang sehingga menyerupai seekor penyu. Oleh itu, orang Makassar memanggil benteng itu sebagai “panyua”. Raja Gowa sedar tentang kepentingan sebuah sistem pertahanan memandangkan negeri tersebut sebagai sebuah negeri maritim yang langsung menghadap laut. Benteng Ujungpandang adalah salah satu daripada 17 benteng yang dibina berjajar sepanjang garis pantai Makassar. Beberapa benteng yang lain seperti benteng Panakukkang, benteng Anak Gowa , benteng Barombong dan lain-lain lagi.Setelah 48 tahun VOC ( Verenidge Oost-Indische Compagnie ) menyebarkan pengaruhnya di Sulawesi telah berlaku Perang Makassar antara tahun 1655 hingga 1669. Perang ini berlaku antara VOC dengan Raja Gowa XVI, I Mallombasi Daeng Mattawang Karaeng Bonto Mangappe yang bergelar Sultan Hasanuddin atas keinginan VOC ingin memonopoli perdagangan nusantara. Benteng Ujungpandang dirampas oleh pihak VOC pada hari Selasa 18 November 1667. Pasukan Gowa yang masih hidup melarikan diri dan bergabung di benteng Somba Opu yang terletak di sebelah selatan benteng Ujungpandang. Dua tahun kemudian Sultan Hasanuddin yang bertahan di benteng Somba Opu telah dikalahkan dan terpaksa menandatangani satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Bungaya. Setelah kekalahan itu, 16 benteng yang dimiliki kerajaan Gowa telah di musnahkan termasuk benteng Somba Opu dan hanya meninggalkan satu benteng iaitu benteng Ujungpandang yang dijadikan sebagai markas atau basis ketenteraan mereka oleh pemimpin pasukan Belanda, Admiral Conelis Janszoon Speelman. Nama benteng Ujungpandang telah ditukar menjadi Fort Rotterdam.
Menurut maklumat yang kami perolehi daripada mahasiswa UNHAS benteng ini merupakan benteng kedua yang dibina oleh pihak Belanda bagi menghadapi serangan daripada pihak luar. Keutuhan benteng ini jelas kelihatan melalui seni bina benteng tersebut yang masih kukuh dan wujud pada masa sekarang.Dikatakan bahawa,benteng hanya dibina dengan batu dan telur dan masih kukuh hingga sekarang.
Comments
Post a Comment